Dalam suasana penuh kesyukuran dan kebersamaan, Jabatan Sains Sosial IPG Kampus Ipoh telah menganjurkan Majlis Perhimpunan Organisasi dan Majlis Santunan Budi Pn. Asrofah binti Anuas, sebagai tanda penghargaan atas jasa dan khidmat bakti beliau sepanjang perkhidmatan sebagai Pembantu Operasi di jabatan ini.
Majlis penuh bermakna ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang Berusaha Dr. Hamidah binti Samsudin, Pengarah IPG Kampus Ipoh. Dalam ucapan perasmian, beliau merakamkan penghargaan terhadap komitmen dan semangat kekeluargaan yang ditonjolkan oleh warga Jabatan Sains Sosial serta menzahirkan rasa terharu atas keprihatinan jabatan dalam meraikan insan yang banyak berjasa di sebalik tabir kecemerlangan organisasi.
Turut hadir, Dr. Siti Hayati binti Hj. Mohd Yusof, Ketua Jabatan Sains Sosial, yang dalam ucapannya menyampaikan penghargaan tulus kepada Pn. Asrofah binti Anuas atas keikhlasan, kesetiaan dan sumbangan beliau terhadap kelancaran urusan jabatan. Beliau menegaskan bahawa kecekapan dan kesantunan Pn. Asrofah telah menjadi contoh terbaik bagi warga kerja yang lain.
Pn. Asrofah dikenali sebagai seorang yang berdedikasi, bertanggungjawab dan sentiasa menunaikan amanah dengan penuh komitmen. Keperibadian beliau yang mesra, sopan dan berdisiplin menjadikan beliau disenangi oleh semua rakan setugas. Majlis ini bukan sekadar acara penghargaan, tetapi simbol kasih dan penghormatan warga jabatan terhadap insan yang banyak berjasa tanpa mengira waktu dan keadaan.
Seluruh warga Jabatan Sains Sosial merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Pn. Asrofah binti Anuas atas khidmat bakti dan pengorbanan yang telah dicurahkan. Semoga beliau dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan berpanjangan dan keberkatan dalam setiap langkah kehidupan yang mendatang.
“Budi disemai harum mewangi,
Jasa ditabur kekal di hati.
Walau berpisah arah dan destinasi,
Kenangan bersama tetap abadi.”
IPGK IPOH-The Inspiration of Positive and Objective Hearts
Jabatan Sains Sosial, IPG Kampus Ipoh



Tiada ulasan:
Catat Ulasan