Pada 10-14 November 2025 bertempat di Pusat Sumber dan perkarangan Foyer Blok Seri Budiman IPG Kampus Ipoh telah terlaksana satu program anjuran Unit PSV Jabatan Sains Sosial IPG Kampus Ipoh. Program ini diterajui oleh Dr. Siti Hayati binti Haji Mohd Yusoff selaku Ketua Jabatan, Jabatan Sains Sosial dan Puan Salzuriawani binti Ridzwan selaku Penyelaras Program yang telah dirasmikan oleh Dr. Hamidah binti Shamsudin, Pengarah IPG Kampus Ipoh. Program ini melibatkan peserta dalam kalangan pelajar daripada Unit X dan Unit A8 IPG Kampus Ipoh.
Anyaman merupakan warisan seni budaya yang mempamerkan kreativiti, kemahiran tangan, dan identiti masyarakat. Pameran ini menampilkan pelbagai jenis anyaman kelarai yang menjadi warisan halus seni kraf Melayu, bukan sekadar tenunan fizikal tetapi juga jalinan rasa, jiwa, dan tradisi. Ia membawa pengunjung menyelusuri perjalanan kreatif pelajar dalam mengolah bahan, bentuk, dan warna untuk menghasilkan anyaman yang menggabungkan nilai tradisi serta inovasi kontemporari. Setiap corak kelarai dihasilkan melalui teknik silang-menyilang jalur yang teliti bagi membentuk motif tertentu yang membawa makna, simbol, dan keindahan tersendiri. Pameran ini bertujuan memelihara dan mempromosikan seni anyaman, meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan warisan budaya, serta memberi platform interaksi antara pengrajin dan pengunjung, supaya seni anyaman terus hidup dan relevan dalam era moden.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan